Thursday 7 November 2013

Tindakan PM Turkey dikecam

ANKARA: Tindakan keras Perdana Menteri Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, terhadap asrama pelajar yang menempatkan pelajar lelaki dan perempuan telah dikecam pengkritik.
Tiga suku asrama pelajar yang dikendalikan pemerintah sudah mengasingkan pelajar wanita dan lelaki sementara baki asrama yang masih mencampurkan pelajar wanita dan perempuan akan ditutup menjelang awal tahun depan, kata satu sumber kepada agensi berita AFP.
Para pengkritik mengecam tindakan itu sebagai usaha terbaru Encik Erdogan untuk memaksa nilai Islam ke atas negara yang kuat berpegang kepada dasar sekularisme.
Hanya beberapa hari setelah empat anggota parlimen wanita daripada parti pimpinannya melanggar larangan berdekad lamanya dengan memakai hijab dalam dewan parlimen, perdana menteri berhaluan konservatif itu menyampaikan kecaman baru terhadap dasar sekularisme di negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam.
"Kita tidak akan benarkan pelajar wanita dan lelaki tinggal bersama di asrama milik pemerintah," kata beliau kepada anggota parlimen partinya minggu ini.
"Nilai yang saya pegang tidak membenarkan perkara sedemikian. Apa sahaja boleh berlaku jika ia (mempunyai) campuran (pelajar lelaki dan wanita)," katanya.
Tambahnya, beliau telah menerima aduan daripada keluarga yang meminta pihaknya campur tangan.
"Ia adalah tanggungjawab kami untuk campur tangan," kata Encik Erdogan.
Menepis semua kritikan, Encik Erdogan memerintahkan gabenor 81 wilayah negara itu untuk memantau asrama pelajar dan bersuara menentang kelakuan tidak bermoral.
Namun, tindakan Encik Erdogan itu telah menimbulkan reaksi dalam kalangan mereka yang menuduh beliau cuba memaksakan nilai konservatifnya ke atas Turkey.
Turkey sudah pun mengetatkan undang-undang penjualan dan pengiklanan arak.
Encik Erdogan juga telah menjelaskan bahawa beliau merancang mengetatkan kawalan terhadap asrama campuran yang dikendalikan sektor swasta.
Walaupun menerima kritikan dan mungkin halangan dari segi undang-undang, Encik Erdogan tetap bertegas dan berkata kepada media kelmarin: "Jika undang-undang perlu diubah, kita akan mengubahnya."
SAMBUNG BACAAN..

Busuk.com

Gedung Ilmu